fb fb fb fb fb

PBB mohon Hampir AS$1 bilion bantu pelarian Rohingya di Bangladesh

Seorang budak lelaki mendukung seorang bayi sementara pelarian Rohingya menunggu untuk menerima bekalan makanan di pusat agihan Program Makanan Sedunia (WFP) di kem pelarian Balukhali, berhampiran Cox's Bazar, Bangladesh. / Foto REUTERS

GENEVA, 24 Mac–Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan pada Isnin bahawa pihaknya dan rakan kongsi lain sedang mencari hampir AS$1 bilion untuk menyediakan bantuan kecemasan kepada kira-kira 1.5 juta pelarian Rohingya di Bangladesh pada tahun ini.

Menurut kenyataan PBB, pihaknya memerlukan sebanyak AS$934.5 juta dalam tahun pertama untuk membantu sekitar 1.48 juta individu, termasuk pelarian Rohingya dan komuniti tuan rumah.

Lebih sejuta anggota komuniti Rohingya, yang merupakan minoriti Muslim yang ditindas, kini hidup dalam keadaan daif di kem-kem pelarian di Bangladesh.

Sebahagian besar mereka tiba selepas melarikan diri daripada serangan ketenteraan Myanmar pada tahun 2017.

"Kini memasuki tahun kelapan, krisis kemanusiaan Rohingya masih diabaikan oleh masyarakat antarabangsa, namun keperluan mereka masih mendesak," kata kenyataan PBB pada Isnin.

PBB memberi amaran bahawa kekurangan dana dalam sektor kritikal seperti bantuan makanan, bahan bakar memasak, dan tempat perlindungan akan memberi kesan buruk kepada populasi pelarian Rohingya.

Situasi berkenaan juga boleh memaksa ramai pelarian mengambil langkah terdesak, termasuk melakukan perjalanan berbahaya dengan bot untuk mencari perlindungan di negara lain.

PBB turut menekankan bahawa lebih separuh daripada populasi pelarian Rohingya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak perempuan, yang berdepan risiko lebih tinggi terhadap keganasan berasaskan jantina dan eksploitasi.

Sementara itu, sepertiga daripada pelarian Rohingya berumur antara 10 hingga 24 tahun. Tanpa akses kepada pendidikan formal, latihan kemahiran, dan peluang berdikari, masa depan mereka masih tergantung tanpa kepastian.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD