ATHENS, 24 Mac-Greece memberi amaran bahawa situasi politik di negara jirannya, Turkiye, amat membimbangkan" susulan penahanan Datuk Bandar Istanbul yang berpengaruh, Ekrem Imamoglu, kata jurucakap kerajaan pada Isnin.
Pencabulan terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan awam "tidak boleh diterima," kata jurucakap Pavlos Marinakis.
Beliau menambah bahawa Ankara perlu memberikan "jawapan yang meyakinkan bagi sebarang dakwaan pelanggaran terhadap prinsip-prinsip ini", katanya.
Marinakis juga memberi amaran bahawa keadaan semasa akan menyukarkan penganjuran pertemuan antara Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
"Seperti yang anda fahami, adalah menjadi sukar untuk menganjurkan Majlis Kerjasama Tertinggi antara Greece dan Turkiye dalam masa terdekat di Ankara," katanya.
Tarikh sebenar pertemuan tersebut belum diumumkan secara rasmi. Namun, pertemuan itu adalah sebahagian daripada usaha yang telah dijalankan sejak Disember 2023 untuk merapatkan hubungan antara dua negara jiran yang mempunyai sejarah persaingan, meskipun kedua-duanya merupakan rakan dalam NATO.
Akhbar harian Greece, Kathimerini, melaporkan bahawa pertemuan antara kedua-dua pemimpin dijadualkan berlangsung pada 8 April.
Imamoglu dilihat sebagai pencabar politik terkuat kepada Erdogan. Penahanannya telah mencetuskan protes jalanan berskala besar, sesuatu yang tidak pernah disaksikan di Turki sejak tahun 2013.-AFP.