fb fb fb fb fb

Anggota Hamas, Ismail Barhoum terbunuh dalam serangan Israel di hospital

Kebakaran di Hospital Nasser dalam serangan udara Israel, di Khan Yunis di selatan Gaza/ AFP

GAZA, 24 Mac- Hamas mengesahkan seorang anggota biro politiknya, Ismail Barhoum terbunuh dalam serangan udara Israel pada Ahad.

Menurut sumber Hamas, Ismail ketika itu sedang menjalani rawatan di Hospital Nasser yang menjadi sasaran tentera rejim.

Pesawat zionis melancarkan serangan ke bilik bedah di hospital berkenaan.

"Pesawat perang mengebom bilik pembedahan di Hospital Nasser di Khan Yunis, tempat Ismail sedang menerima rawatan selepas mengalami kecederaan kritikal dalam serangan udara yang menyasarkan rumahnya di Khan Yunis pada subuh Selasa lalu", menurut sumber itu.

Ismail merupakan anggota biro politik Hamas yang keempat terbunuh sejak Selasa lalu, apabila Israel meneruskan serangan udara di wilayah itu.

Menteri Pertahanan Israel Israel Katz mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa Ismail menjadi sasaran dalam serangan itu.

Tentera Israel berkata mereka telah menyerang hospital itu dengan tepat selepas mengumpul maklumat perisikan dengan alasan kumpulan Hamas beroperasi di dalam kawasan Hospital Nasser.

Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas memaklumkan tentera Israel menyasarkan bangunan pembedahan di dalam Kompleks Perubatan Nasser, yang menempatkan ramai pesakit dan individu yang cedera dan berlakunya kebakaran di kawasan tersebut.

"Seorang telah terbunuh dan ramai yang cedera, termasuk beberapa kakitangan perubatan. Seluruh jabatan telah dipindahkan", kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, agensi penyelamat pertahanan awam Gaza berkata jabatan kecemasan hospital itu telah menjadi sasaran.

Terdahulu, serangan udara Israel berhampiran Khan Yunis sebelum itu, membunuh anggota kanan biro politik Hamas, Salah al-Bardawil.

"Salah 65, terbunuh bersama isterinya di sebuah kem di al-Mawasi," menurut sumber Hamas.

Tentera Israel mengesahkan bahawa pihaknya telah menyasarkan Salah dan mengatakan bahawa peranannya dan mengarahkan perancangan strategik dan ketenteraan Hamas di Gaza.

"Penghapusan beliau seterusnya akan melemahkan keupayaan ketenteraan dan pemerintahan Hamas," katanya.-AFP

ROSLINA BINTI DIN