NEW YORK, 3 Februari- Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Palestin, Francesca Albanese mengecam tindakan Israel di Gaza dan Tebing Barat, selain menganggapnya sebagai jenayah.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), Albanese berkata beliau telah memberi amaran mengenai hal itu semasa Perhimpunan Agung PBB menerusi laporan terakhirnya pada Oktober tahun lalu.
“Niat genosid jelas kelihatan dalam cara Israel menyasarkan rakyat dan seluruh wilayah Palestin,” katanya dalam satu catatan di X.
Pegawai PBB itu menggesa masyarakat antarabangsa untuk campur tangan dan menghentikan kemusnahan yang sedang berlaku, yang menurutnya telah meluas melibatkan semua wilayah, bukan hanya Gaza.
"Sudah tiba masanya untuk campur tangan dan menghentikannya (serangan Israel di Gaza),” tambahnya lagi.