WASHINGTON, 3 Februari- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengatakan bahawa beliau tidak akan mengenakan tarif ke atas Britain, buat masa ini.
Namun, Trump berkata Kesatuan Eropah (EU) akan dikenakan tarif seperti Kanada, Mexico dan China.
"Kita akan lihat apa yang berlaku. Mungkin ia akan berlaku (dengan Britain)... tetapi ia pasti akan berlaku dengan EU. Saya boleh beritahu anda itu, kerana mereka benar-benar mengambil kesempatan daripada kami.
"Kami mempunyai defisit lebih AS$300 bilion.
"Mereka tidak ambil kereta kami, mereka tidak ambil produk pertanian kami. Mereka tidak mengambil apa-apa, dan kami mengambil segala-galanya daripada berjuta-juta kereta, makanan dan produk pertanian yang banyak," katanya.
Trump turut memberikan harapan untuk penyelesaian dengan London.
"Saya rasa yang itu boleh diselesaikan. Perdana Menteri (Keir) Starmer sangat baik.
"Kami telah mengadakan beberapa pertemuan, selain beberapa panggilan telefon dan kita akan lihat sama ada kita boleh mengimbangkan semula perdagangan kami," kata Trump.
Terdahulu, Trump melancarkan perang dagangan secara besar-besaran dengan alasan beliau mahu negara-negara yang menjadi rakan dagangan utama Washington, iaitu tiga negara teratas dalam perdagangan, supaya melakukan lebih banyak usaha untuk mengurangkan aliran migran dan dadah ke dalam negara. - AFP