fb fb fb fb fb

Pelantar terapung beri harapan kepada spesis penyu terancam

Foto Hiasan / Reuters

KERKENNAH, 12 Januari – Sebuah pelantar terapung yang terletak ratusan meter dari Kepulauan Kerkennah kini menjadi pusat pemulihan terapung pertama untuk penyu spesis loggerhead di Mediterranean.

Inisiatif tersebut memberikan harapan baharu kepada spesis terancam tersebut.

Dalam satu sesi pelepasan semula ke laut, sekumpulan pelajar menyaksikan Besma, seekor penyu laut yang sedang pulih, merangkak perlahan-lahan ke arah air sebelum menyelam masuk ke habitat asalnya.

Menurut Hamed Mallat, ahli biologi marin yang mengetuai projek itu, platform terapung tersebut direka untuk membolehkan penyu menerima rawatan di habitat semula jadinya, iaitu air masin.

“Adalah penting untuk penyu laut pulih di persekitaran semula jadi mereka,” ujar Mallat, yang mengetuai projek yang dibiayai oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Pelantar terapung itu, yang diubah suai daripada sangkar akuakultur yang tenggelam, mampu menampung sehingga lima ekor penyu pada satu masa.

Setiap penyu ditempatkan dalam ruang tersendiri dengan jaring yang membolehkan mereka berenang hingga ke dasar laut.

Spesis loggerhead atau caretta, yang diklasifikasikan sebagai terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), menghadapi ancaman besar di perairan Tunisia.

Setiap tahun, sekitar 10,000 penyu itu terperangkap dalam jaring pukat tunda dan jaring insang, yang menyumbang lebih 70 peratus daripada kematian penyu di Mediterranean, menurut data projek Life Medturtles.

Namun begitu, nelayan tempatan sering memainkan peranan dalam menyelamatkan penyu yang cedera dengan membawa mereka ke pelantar terapung untuk mendapatkan rawatan.

Projek tersebut bukan sahaja menyelamatkan penyu, tetapi juga menjadi platform pendidikan untuk generasi muda.

“Ini adalah aplikasi langsung daripada perkara yang kami pelajari,” kata Sarah Gharbi, 24 tahun, pelajar perikanan dan alam sekitar di Institut Agronomi Nasional Tunisia (INAT).

Pensyarahnya, Rimel Ben Messaoud, menekankan nilai pendidikan projek ini dalam memberi pengalaman langsung kepada pelajar mengenai pemuliharaan spesies marin.

Mallat turut menjelaskan bahawa inisiatif ini membantu kajian saintifik, terutamanya untuk memantau pola migrasi penyu loggerhead.

Penyu seperti Besma kini dilengkapi alat penjejak bagi memantau pergerakannya di laut.

Dengan ancaman seperti kenaikan suhu laut, pencemaran, dan penangkapan ikan berlebihan, Mallat berharap projek ini dapat meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan penyu laut.

“Kami berharap dapat menarik pelancong musim panas untuk mengenali lebih dekat spesis terancam ini,” katanya.

Projek tersebut menjadi bukti usaha kolaboratif antara komuniti tempatan, akademik, dan organisasi antarabangsa dalam melindungi warisan marin Mediterranean.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN