fb fb fb fb fb

Konflik Asia Barat: Iran adakan latihan pertahanan udara

Foto REUTERS

DUBAI, 12 Januari -Iran giat mengadakan latihan pertahanan udara pada Sabtu, lapor media kerajaan, ketika negara itu bersiap sedia menghadapi kemungkinan ketegangan dengan musuh utama, Israel, dan Amerika Syarikat di bawah Presiden AS yang baru, Donald Trump.

Latihan perang itu diadakan ketika para pemimpin Iran berdepan risiko bahawa Trump mungkin memberi kuasa kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk menyerang tapak nuklear Iran, selain memperketatkan lagi sekatan terhadap industri minyaknya melalui dasar tekanan maksimum.

"Latihan ini... melibatkan sistem pertahanan yang akan menguji keupayaan menghadapi ancaman udara, peluru berpandu, dan peperangan elektronik dalam keadaan pertempuran sebenar untuk melindungi ruang udara serta kawasan sensitif dan penting negara," lapor televisyen kerajaan Iran.

Latihan pada Sabtu itu adalah sebahagian daripada latihan dua bulan yang bermula pada 4 Januari, yang termasuk permainan perang menyaksikan Pengawal Revolusi elit mempertahankan tapak nuklear penting di Natanz daripada serangan palsu menggunakan peluru berpandu dan dron, menurut media kerajaan.

Tentera Iran menyatakan bahawa mereka menggunakan dron dan peluru berpandu baharu dalam latihan tersebut serta menyiarkan rakaman bandar peluru berpandu bawah tanah yang baru dikunjungi oleh Panglima Pengawal Revolusi, Mejar Jeneral Hossein Salami.

Iran baru-baru ini mengalami kekalahan di Lubnan selepas serangan Israel terhadap Hizbullah yang disokong Iran, serta kejatuhan sekutunya, Presiden Bashar al-Assad, di Syria bulan lalu.

Namun, Salami memberi amaran dalam ucapan yang disiarkan oleh televisyen kerajaan tentang "rasa gembira sementara" di kalangan musuh Iran, dengan menegaskan bahawa Iran, khususnya pasukan peluru berpandunya, kini lebih kuat berbanding sebelum ini.

Walaupun pegawai Iran cuba menutup isu kekalahan itu, seorang jeneral Iran, Behrouz Esbati, yang dilaporkan berkhidmat di Syria, dalam satu ucapan yang tersebar di media sosial berkata bahawa Iran telah "kalah teruk" di Syria.

Pihak Reuters bagaimana pun tidak dapat mengesahkan rakaman tersebut.

Pada tahun 2018, Trump menarik diri daripada perjanjian yang dimeterai oleh pendahulunya, Barack Obama, pada tahun 2015 yang menyaksikan Iran bersetuju untuk mengehadkan pengayaan uranium yang boleh menghasilkan bahan untuk senjata nuklear sebagai pertukaran kepada pelonggaran sekatan ekonomi oleh AS dan PBB.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD