PAHALGAM, 23 April- Ribuan pelancong mula meninggalkan wilayah Kashmir yang dikawal India selepas serangan bersenjata yang mengorbankan 26 orang lelaki di kawasan pelancongan terkenal Pahalgam, dalam kejadian paling berdarah sejak lebih dua dekad.
Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Omar Abdullah, dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, insiden itu mencetuskan "exodus tetamu" dari wilayah pergunungan yang sebelum ini dikenali sebagai “Little Switzerland” kerana keindahan alam semula jadinya.
Seramai 3.5 juta pelancong majoritinya rakyat tempatan melawat Kashmir tahun lalu, dan bagi kerajaan India, angka itu menjadi bukti kepada naratif bahawa keadaan telah kembali normal selepas langkah kontroversi menarik balik status autonomi wilayah itu pada tahun 2019.
Namun, serangan Selasa lalu menggegarkan persepsi tersebut, apabila pelancong bertempiaran menaiki bas dan teksi untuk meninggalkan kawasan itu. Hotel-hotel turut melaporkan lonjakan pembatalan tempahan, menandakan impak besar kepada ekonomi pelancongan tempatan.
Pahalgam yang biasanya tenang dan dikelilingi hutan pain serta gunung bersalji, kini dibanjiri anggota tentera dan helikopter tentera yang menyertai operasi besar-besaran memburu penyerang. Keseluruhan kawasan telah dikawal ketat dengan kehadiran askar bersenjata lengkap dan pasukan forensik.
Tapak serangan masih menampakkan kesan darah yang belum dibersihkan dan pelancong yang tinggal digesa untuk segera berpindah. Tentera India kini menyiasat secara menyeluruh sambil kawalan keselamatan di kawasan pelancongan lain turut diperketatkan.
Pengurus Hotel Mount View, Abdul Salam, berkata sebelum serangan, hotelnya sudah penuh ditempah untuk beberapa bulan. Namun semuanya berubah sekelip mata. “Tragedi ini akan lumpuhkan ekonomi pelancongan Kashmir,” katanya, sambil cuba meyakinkan pelanggan untuk tidak panik.
Kerajaan India selama ini mempromosikan Kashmir sebagai destinasi percutian utama — untuk aktiviti ski pada musim sejuk dan rehat dari cuaca panas pada musim panas. Beberapa resort turut dibangunkan berhampiran sempadan de facto antara India dan Pakistan, walaupun kawasan itu sering tegang.-AFP