fb fb fb fb fb

EU denda Apple & Meta €700 juta, risiko cetus kemarahan Trump

FOTO AFP

BRUSSELS, 23 April- Kesatuan Eropah pada Rabu mengenakan denda sebanyak €700 juta terhadap dua gergasi teknologi Amerika Syarikat, Apple dan Meta, atas pelanggaran peraturan persaingan digital bawah Akta Pasaran Digital (DMA), sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan reaksi balas dari Presiden AS, Donald Trump.

Apple dikenakan denda €500 juta selepas didapati menghalang pembangun aplikasi daripada mengarahkan pengguna untuk melanggan perkhidmatan mereka secara terus di luar App Store, yang selalunya menawarkan harga lebih murah. Meta pula dikenakan penalti €200 juta kerana sistem “bayar atau setuju” yang dianggap melanggar hak privasi pengguna Facebook dan Instagram.

Langkah tersebut menandakan penguatkuasaan pertama bawah DMA, undang-undang yang diwujudkan tahun lalu bagi memaksa syarikat teknologi terbesar dunia membuka ekosistem digital mereka kepada persaingan sihat di Eropah. Jika gagal mematuhi dalam tempoh 60 hari, kedua-dua syarikat berisiko dikenakan “denda berkala”.

Sementara EU meningkatkan undang-undang digital menerusi DMA dan juga Akta Perkhidmatan Digital (DSA), ramai pemerhati gusar sama ada blok itu akan terus tegas menguatkuasa peraturan tersebut, memandangkan hubungan tegang dengan pentadbiran Trump yang kerap menuduh EU mengenakan sekatan perdagangan tidak langsung ke atas syarikat AS.

Trump sebelum ini mengecam cukai digital EU sebagai “halangan perdagangan”, malah mengenakan tarif sebanyak 25 peratus terhadap import besi, aluminium dan kenderaan dari Eropah. Brussels kini sedang merundingkan jalan tengah bagi mengelakkan tarif lanjut, dan tindakan terhadap Apple serta Meta dijangka menambah ketegangan.

Apple menyelar keputusan tersebut dan berikrar akan membuat rayuan. Dalam kenyataannya, syarikat itu mendakwa tindakan EU adalah “tidak adil dan membahayakan keselamatan serta privasi pengguna”, selain mendesak mereka untuk menyerahkan teknologi kepada pesaing secara percuma.

Meta pula menuduh Suruhanjaya cuba “membantutkan syarikat Amerika yang berjaya”, sambil membenarkan syarikat dari Eropah dan China beroperasi dengan standard yang berbeza. Ketua Hal Ehwal Global Meta, Joel Kaplan, seorang sekutu rapat Trump menyatakan bahawa perubahan model perniagaan yang dipaksa EU bersamaan dengan “tarif berbilion dolar”.

Denda terhadap Meta khususnya berkait sistem langganan yang dilancarkan pada November 2023, di mana pengguna perlu membayar untuk mengelak pengumpulan data, atau bersetuju berkongsi maklumat peribadi bagi terus menggunakan platform secara percuma. EU mendapati Meta gagal menyediakan versi platform yang setara tetapi kurang diperibadikan, satu syarat penting dalam mendapatkan “persetujuan bebas” pengguna.

Dalam perkembangan berasingan, EU menutup siasatan terhadap Apple berhubung keperluan pilihan pelayar dan aplikasi lalai, selepas syarikat itu mematuhi peraturan DMA dengan membenarkan pengguna memilih pelayar pilihan dan memadam aplikasi prapasang seperti Safari. Namun, Apple masih berdepan siasatan lain yang boleh membawa kepada penalti tambahan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE