fb fb fb fb fb

2 polis terbunuh dalam serangan ketika iringi pasukan vaksinasi polio di Pakistan

FOTO HIASAN

QUETTA, 23 April- Dua anggota polis Pakistan maut selepas diserang penunggang motosikal bersenjata ketika mengiringi petugas kesihatan yang menjalankan program vaksinasi polio di wilayah bergolak Balochistan, kata pegawai tempatan pada Rabu.

Serangan itu berlaku di kawasan Teeri, daerah Mastung, ketika pasukan vaksinasi sedang melaksanakan tugasan mereka dalam program imunisasi nasional yang dilancarkan awal minggu ini.

Menurut pentadbir tempatan, Manan Tareen, salah seorang anggota polis terbunuh di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Bagaimanapun, kesemua petugas kesihatan dilaporkan selamat kerana berada di dalam sebuah rumah ketika kejadian.

Jurucakap kerajaan wilayah, Shahid Rind, mengesahkan jumlah korban kepada agensi berita AFP dan menyatakan tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab setakat ini.

Serangan itu adalah yang kedua dalam minggu ini sejak kempen vaksinasi dimulakan, dan ia turut mengingatkan kepada ancaman berterusan terhadap usaha kesihatan awam di negara itu.

Pakistan dan jiran terdekatnya, Afghanistan, kekal sebagai dua negara terakhir di dunia di mana polio masih dianggap endemik. Usaha pemberantasan penyakit itu sering terganggu akibat serangan ke atas pasukan kesihatan dan pasukan keselamatan yang mengiringi mereka.

Dalam tempoh sedekad yang lalu, ratusan anggota keselamatan dan petugas kesihatan telah menjadi sasaran militan yang melancarkan serangan terhadap institusi negara Pakistan, khususnya ketika menjalankan operasi vaksinasi.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE