PAHALGAM, 23 April- Pasukan keselamatan India giat memburu penyerang bersenjata yang melepaskan tembakan ke arah pelancong di Pahalgam semalam, menyebabkan 26 terbunuh, insiden paling berdarah melibatkan orang awam dalam 25 tahun.
Perdana Menteri Narendra Modi memendekkan lawatan ke Arab Saudi, menyifatkan serangan itu sebagai tindakan keji dan berjanji pelaku akan diadili. Kabinet keselamatan khas dijadual berlangsung hari ini.
Serangan berlaku apabila penyerang muncul dari hutan dan melepaskan tembakan ke arah pelancong. Kesemua mangsa adalah warga India kecuali seorang dari Nepal. Tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
Ketua Menteri Kashmir, Omar Abdullah, menyifatkan serangan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan terbesar terhadap orang awam dalam beberapa tahun. Pasukan tentera dan helikopter kini menggeledah kawasan pergunungan mencari pelaku.
Sementara itu, Pakistan menafikan penglibatan dalam serangan terbabit dan menyampaikan ucapan takziah. Namun, penganalisis memberi amaran insiden berkenaan boleh cetus ketegangan baharu antara kedua-dua negara, lebih serius sejak konflik pendek 2019.
Tapak serangan kini dipenuhi tentera dan penyiasat forensik, manakala darah mangsa masih kelihatan di padang rumput. Seorang pemandu pelancong memaklumkan dia membawa mangsa cedera menaiki kuda.
Pemimpin dunia termasuk Presiden Trump dan China mengutuk serangan itu dan menyatakan sokongan terhadap India. Air India menambah penerbangan keluar dari Srinagar susulan panik pelancong mahu segera pulang.
Serangan tersebut mengulangi trauma tragedi Pulwama 2019 dan memberi tamparan hebat kepada usaha kerajaan mempromosi Kashmir sebagai destinasi pelancongan yang selamat.-AFP