BAITULMAQDIS, 23 April- Respons rasmi Israel terhadap kematian Paus Francis dilihat agak dingin, dengan laporan menyebut akaun rasmi negara itu di X sempat memuat naik ucapan takziah sebelum ia dipadamkan.
Hubungan antara Israel dan Paus Francis memang tegang sejak perang Gaza tercetus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023. Paus Francis sering mengkritik tindakan ketenteraan Israel, walaupun turut mengecam peningkatan sentimen anti-Semit di seluruh dunia.
Media Israel, Ynet, melaporkan Kementerian Luar Israel mengarahkan semua misi diplomatik memadam sebarang ucapan takziah berkaitan kematian Paus dan tidak menandatangani buku ucapan takziah di kedutaan Vatican.
Walaupun begitu, Duta Israel ke Vatican, Yaron Sideman akan hadir ke pengebumian Paus Sabtu ini. Presiden Israel, Isaac Herzog, menjadi antara pemimpin awal yang memberikan ucapan takziah, menyifatkan Paus sebagai “pemimpin berbelas kasihan yang memperkukuh hubungan dengan masyarakat Yahudi.”
Namun, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Menteri Luar Gidon Saar kekal berdiam diri, walaupun mereka ada memberi respon terhadap serangan di India yang berlaku sehari selepas kematian Paus Francis.
Akhbar The Jerusalem Post pula menyifatkan Francis sebagai pemimpin yang gagal memahami sensitiviti konflik Israel dan Palestin, malah menyatakan “kompas moral beliau sering goyah dalam hal berkaitan Israel.”-AFP