BERLIN, 9 Februari- Pelajar universiti di Jerman mengadakan demonstrasi di Berlin semalam sebagai tanda protes terhadap serangan Israel ke atas Gaza.
Memetik Agensi Berita Palestin (WAFA), Agensi Anadolu berkata kira-kira 100 pelajar berkumpul di hadapan 'Freie Universitat Berlin' sambil mengibarkan bendera Palestin dan menyatakan sokongan terhadap rakyat negara itu.
Mereka juga mahukan konflik berkenaan dihentikan, selain mahukan kebebasan buat rakyat negara itu.
Jurucakap protes, Cicilia mengkritik lembaga universiti kerana memberi tekanan kepada pelajar yang menyatakan sokongan terhadap Palestin.
"Suara pro-Palestin diminta senyap dan ditindas. Pentadbiran Universiti membenarkan polis memasuki kampus dan mengganggu demonstrasi aman. Ini berlaku apabila pembunuhan beramai-ramai berlaku di depan mata kita. Kami berdemonstrasi menentang ini," katanya kepada Anadolu.
Kerajaan Jerman yang menjadi salah sebuah negara yang menyokong kuat Israel mengalami tekanan baru-baru ini disebabkan kes pembunuhan orang awam di Gaza.
Tinjauan mendapati 61 peratus rakyat Jerman menyokong Palestin, manakala 25 peratus lagi menyokong Israel.