BEIJING, 19 November- Beberapa individu termasuk pelajar dan pejalan kaki di luar sebuah sekolah rendah di bandar Changde di wilayah Hunan, selatan China cedera akibat dirempuh pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) pada Selasa.
Media kerajaan CCTV dan media kerajaan lain melaporkan kejadian itu berlaku di sebuah sekolah rendah, namun individu yang cedera telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang kecederaan serius namun pihak polis tidak memberikan angka terperinci berhubung kemalangan berkenaan.
Polis juga memaklumkan bahawa seorang lelaki berusia 39 tahun telah ditahan berhubung kejadian itu dan siasatan masih diteruskan.
Klip video pendek berkenaan tersebar di media sosial China pada Selasa menunjukkan kanak-kanak kecil berlari ke kawasan sekolah Changde sambil meminta pertolongan.
Satu klip video memaparkan SUV kompak putih berhenti di seberang pintu masuk sekolah. Sekurang-kurangnya lima individu, termasuk seorang pelajar dengan beg sekolah, terbaring di laluan sempit di hadapan sekolah berkenaan.
Video berkenaan juga turut merakam suara seorang individu menjerit, "panggil polis" ketika lelaki yang membawa SUV berkenaan dikepung orang ramai.
Sementara itu klip berasingan menunjukkan seorang lelaki digari dan ditahan oleh anggota polis.
Dalam pada itu Pendakwa Raya Tertinggi China mengadakan mesyuarat pada Selasa untuk membincangkan hukuman bagi "jenayah kejam dan ekstrem," serta melibatkan keselamatan awam.
Sebelum ini tular kejadian seorang pemandu merempuh kenderaannya ke arah orang ramai di sebuah pusat sukan di Zhuhai di selatan China.
Insiden berkenaan telah meragut 35 nyawa serta mencederakan 43 individu lain di kawasan itu.- REUTERS