MANILA, 19 November- Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr berkata beliau dan Presiden terpilih Amerika Syarikat Donald Trump membincangkan perikatan antara kedua-dua negara dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan.
Perkara itu dibincangkan menerusi panggilan telefon pada Selasa.
Marcos memaklumkan kepada pemberita bahawa panggilan dengan Trump mendapat reaksi baik dan ia dilihat "sangat produktif".
Beliau juga merancang untuk berjumpa dengan Trump secepat mungkin.
"Saya rasa Presiden AS Trump gembira mendengar perkhabaran dari Filipina," kata Marcos.
Marcos juga dalam usaha untuk membina semula hubungan secara terbuka dengan Amerika Syarikat.
Tahun lalu, beliau melakukan lawatan rasmi pertama Filipina ke Amerika Syarikat dalam tempoh lebih 10 tahun.
Dalam pada itu Trump juga bertanyakan khabar tentang ibunya yang berusia 95 tahun. "Bagaimana keadaan Imelda Marcos?" Saya turut menyampaikan ucapan tahniah daripada ibu saya kepada awak (Trump)," katanya.
Filipina, bekas tanah jajahan AS, dilihat sebagai pusat kepada usaha Washington untuk menentang dasar China yang semakin tegas di Laut China Selatan dan terhadap Taiwan.
Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin pada Selasa melakukan lawatan ke atas Komando Barat tentera Filipina di pulau Palawan, bersebelahan Laut China Selatan.
Tindakan itu mengulangi komitmen Washington kepada Filipina bawah Perjanjian Pertahanan Bersama 1951.
"Rakyat Amerika sangat komited terhadap pertahanan Filipina," kata Austin dalam sidang akhbar bersama-sama rakan sejawatannya di Manila, Gilberto Teodoro.
"Komitmen kami terhadap Perjanjian Pertahanan Bersama adalah kukuh. Saya katakan sekali lagi bahawa Perjanjian Pertahanan Bersama terpakai untuk serangan bersenjata ke atas sama ada angkatan bersenjata, pesawat, atau kapal awam kami sendiri, termasuk pengawal pantai kami, di mana-mana sahaja di Laut China Selatan," kata Austin.
Filipina dan China terlibat dalam pertikaian berulang beberapa tahun lalu mengenai Laut China Selatan yang menjadikan laluan air strategik itu menjadi titik kilat yang berpotensi antara Washington dan Beijing.
China menuntut kedaulatan hampir keseluruhan Laut China Selatan namun pada 2016 Mahkamah Tetap Timbang Tara di Hague berkata tuntutan negara tembok besar itu ke tasa wilawah berkenaan tidak mempunyai asas undang-undang.
Keputusan berkenaan berpihak kepada Filipina yang membawa kes itu namun China menolak keputusan berkenaan.- REUTERS