fb fb fb fb fb

Pelajar Gaza kembali ke sekolah

Pelajar Gaza ketinggalan dua tahun sesi pembelajaran ekoran serangan tanpa henti Israel/Foto AFP

NUSEIRAT, Palestin, 2 November – Dalam keadaan serba kekurangan, sekumpulan pelajar di Nuseirat kembali meneruskan pembelajaran di sebuah sekolah Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) yang kini berfungsi sebagai pusat perlindungan sementara bagi keluarga yang hilang tempat berteduh.

Sebahagian sekolah di bawah seliaan UNRWA di Semenanjung Gaza mula dibuka semula secara berperingkat, meskipun bangunan itu masih menempatkan ratusan penduduk yang hilang tempat tinggal akibat konflik berlarutan sejak serangan 7 Oktober lalu.

Pelajar berusia 11 tahun, Warda Radwan, berkata beliau tidak dapat ke sekolah selama dua tahun akibat perang dan pemindahan berulang.

“Saya kini di Tahun Enam, tetapi telah ketinggalan selama dua tahun pelajaran kerana perang dan perpindahan. Kami belajar sedikit demi sedikit sementara menunggu sekolah ini dikosongkan supaya kami boleh belajar seperti dahulu,” katanya.

Sementara itu, Jenin Abu Jarad, ibu saudara kepada salah seorang pelajar, berkata pembukaan semula sekolah memberi sedikit kelegaan kepada keluarga yang lama menunggu peluang untuk anak-anak kembali belajar.

“Sejak 7 Oktober, anak-anak kami langsung tidak bersekolah. Sepanjang masa itu, mereka hanya keluar mencari air, makanan atau bermain di jalanan. Alhamdulillah, sejak seminggu hingga 10 hari lalu, sekolah mula dibuka semula secara berperingkat,” katanya. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN