KIEV, 2 November – Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh, termasuk dua kanak-kanak, dalam siri serangan dron dan peluru berpandu Rusia yang melanda beberapa wilayah di Ukraine dari malam Sabtu hingga awal pagi Ahad.
Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Ukraine, Dmytro Lubinets, berkata dua mangsa kanak-kanak itu masing-masing berusia 11 dan 14 tahun.
Serangan itu menumpukan kawasan selatan dan tengah Ukraine, menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang cedera serta memutuskan bekalan elektrik kepada puluhan ribu isi rumah.
“Pasukan Rusia menyerang wilayah Dnipropetrovsk dan Odesa. Enam orang terbunuh, termasuk dua kanak-kanak,” menurut kenyataan rasmi di Telegram.
Di wilayah Zaporizhzhia, serangan turut menyebabkan hampir 58,000 kediaman terputus bekalan elektrik, menurut Gabenor Ivan Fedorov.
Sementara itu, Rusia belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung serangan itu namun menegaskan pihaknya hanya menyasarkan infrastruktur tenaga yang didakwa menyokong industri pertahanan Ukraine.
Namun, Kiev menolak dakwaan itu, menyatakan serangan tersebut jelas bertujuan untuk melemahkan moral penduduk awam dan membuktikan Moscow tidak berminat kepada keamanan.
Sementara itu, pihak berkuasa Rusia melaporkan serangan dron Ukraine ke atas pelabuhan Laut Hitam Tuapse pada awal pagi Ahad telah menyebabkan sebuah kapal tangki minyak terbakar serta merosakkan infrastruktur pelabuhan berkenaan. - AFP