TEGUCIGALPA, 26 April- Tiga warga Amerika dan seorang warga Honduras didakwa pada Khamis selepas dipercayai terlibat dalam kes pemerdagangan seks berikutan kehilangan seorang pelajar universiti pada 2022 ketika bermain jet ski di kawasan pelancongan popular.
"Hakim telah mengeluarkan dakwaan rasmi terhadap (warga AS) Harold Joseph Green dan William James Murdock," kata jurucakap mahkamah di Tegucigalpa, Barbara Castillo kepada pemberita.
"Perbicaraan itu juga memerintahkan pendakwaan dan pemenjaraan ke atas Gary Lee Johnston dan Ramon Trejo kerana bersubahat untuk melakukan jenayah," tambahnya.
Keempat-empat mereka didakwa terlibat dalam pemerdagangan seorang wanita muda dan akan menghadapi perbicaraan awal pada 8 Mei.
Green, Murdock dan Trejo telah ditangkap minggu lalu di Roatan di Kepulauan Bay di Caribbean Honduras, dan Lee telah ditahan sejak Ogos 2022, dituduh menganggotai geng pornografi kanak-kanak.
Seorang pelajar universiti Honduras berusia 22 tahun hilang pada 1 Januari 2022 selepas keluar ke laut menaiki jet ski.
Pada mulanya polis mendakwa pelajar tersebut telah lemas, tetapi ahli keluarga menuntut siasatan kerana mereka mengesyaki dia telah diculik.
Jet ski, jaket keselamatan dan barang-barang lain wanita muda itu ditemui beberapa hari kemudian di sebuah teluk.
Timbalan Menteri Keselamatan Julissa Villanueva berkata minggu lalu bahawa pihak berkuasa mempunyai maklumat tentang dalang di sebalik penculikan pelajar berkenaan.
Mangsa masih belum ditemui.
Tiga rakyat Amerika itu tinggal di Honduras dan mempunyai pelaburan dalam sektor pelancongan di Roatan.-AFP