fb fb fb fb fb

Pekerja pertahanan Boeing akan undi tawaran kontrak baharu hujung minggu ini

Foto REUTERS

NEW YORK, 24 Oktober -Lebih 3,000 pekerja bahagian pertahanan Boeing akan mengundi hujung minggu ini bagi memutuskan sama ada menerima tawaran kontrak baharu daripada pihak pengurusan.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas rundingan antara syarikat aeroangkasa gergasi AS itu dan kesatuan pekerja dilaporkan menemui jalan buntu.

Ketua Kesatuan Pekerja Mesin dan Aeroangkasa Antarabangsa (IAM) Daerah 837, yang mewakili pekerja di Missouri dan Illinois, pada awalnya enggan membawa tawaran itu untuk diundi, namun kini telah menetapkan pengundian akan diadakan pada Ahad ini.

"Saya gembira kerana kepimpinan kesatuan akhirnya bersetuju untuk mengikut proses demokrasi dan membenarkan anda semua menentukan masa depan sendiri," kata Naib Presiden Eksekutif Boeing di St. Louis, Dan Gillian.

Menurut Gillian, tawaran baharu itu merangkumi kenaikan gaji, cuti tahunan dan cuti sakit tambahan, serta stok terhad bernilai AS$3,000 sebagai tambahan kepada bonus tandatangan.

Bagaimanapun, pakej berkenaan turut mengurangkan bayaran kenaikan tahunan berdasarkan kehadiran.

Jika para pekerja yang telah bermogok sejak 4 Ogos lalu, meluluskan cadangan tersebut, operasi dijangka disambung semula pada 3 November, katanya.

Sebelum ini, pekerja telah menolak beberapa tawaran yang dikemukakan oleh pihak pengurusan.

Pada awal September, Boeing dilaporkan mula merekrut pekerja gantian, dan awal bulan ini pula syarikat itu berusaha mengenal pasti lebih banyak tugas untuk disumber luar kepada pihak ketiga. - AFP

TETITIA YUSOFF