BRUSSEL, 24 Oktober - Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) berikrar untuk menjamin sokongan kewangan kepada Ukraine bagi tempoh dua tahun akan datang.
Ia bagi membolehkan Ukraine mendepani serangan dan pencerobohan Rusia.
Presiden Majlis EU, Antonio Costa memaklumkan, bagi merealisasikan sokongan tersebut, beberapa aspek utama akan diteliti secara menyeluruh.
"Aspek teknikal, undang-undang dan kewangan perlu diperhalusi. Kami akan kembali membincangkan perkara tersebut pada Mesyuarat Majlis Eropah pada bulan Disember ini," katanya.
Sementara itu, Presiden Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen memberitahu, pihaknya telah mengadakan perbincangan mengenai pinjaman pampasan yang akan dibiayai menggunakan aset Rusia yang dibekukan.
"Perbincangan ini membolehkan kami mengenal pasti perkara-perkara yang masih perlu diperjelaskan, kemudian kembali dengan pelbagai pilihan yang kami sediakan. Kami akan sentiasa menghormati undang-undang Eropah dan antarabangsa ketika meneruskan usaha ini," jelasnya.
EU telah membekukan kira-kira €200 bilion aset bank pusat Rusia selepas kereta kebal milik tentera Moscow memasuki Ukraine.
Suruhanjaya Eropah mencadangkan penggunaan dana itu untuk menyediakan pinjaman besar kepada Kyiv. -AFP