fb fb fb fb fb

Trump tamat rundingan perdagangan dengan Kanada

Foto AFP

WASHINGTON, 24 Oktober -Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis mengumumkan beliau menamatkan serta-merta semua rundingan perdagangan dengan Kanada.

Trump mendakwa negara jiran itu telah memutarbelit kenyataan bekas Presiden Ronald Reagan dalam kempen iklan berkaitan tarif.

"Berdasarkan tindakan mereka yang keterlaluan, semua perundingan perdagangan dengan Kanada ditamatkan sekarang,” kata Trump dalam satu hantaran di Truth Social.

Beliau menegaskan bahawa Ronald Reagan Foundation baru-baru ini mengumumkan bahawa Kanada telah menggunakan iklan secara penipuan yang memaparkan Reagan bercakap negatif mengenai tarif, yang menurutnya adalah palsu.

Keputusan mengejut ini berlaku hanya dua minggu selepas Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, mengadakan pertemuan dengan Trump di White House bagi memohon pelonggaran tarif AS yang ketat.

Menurut Ronald Reagan Foundation, kerajaan wilayah Ontario, Kanada, menggunakan audio dan video terpilih daripada ucapan radio Reagan pada April 1987 mengenai perdagangan.

Yayasan itu berkata iklan tersebut memutarbelit maksud ucapan Reagan dan sedang menilai pilihan tindakan undang-undang.

Trump mendakwa iklan itu direka untuk “mengganggu keputusan Mahkamah Agung AS” yang dijangka membuat keputusan mengenai tarif global yang diumumkan oleh pentadbirannya.

Keputusan mendadak untuk menamatkan rundingan perdagangan ini pastinya mengecewakan Carney, yang sebelumnya dipuji Trump sebagai “pemimpin bertaraf dunia”, sambil menambah bahawa Carney akan berasa “sangat gembira” dengan perbincangan mereka pada 7 Oktober.

Bagaimanapun, Trump tidak menawarkan sebarang konsesi segera terhadap tarif. - AFP

TETITIA YUSOFF