HELSINKI, 1 Februari- Kira-kira 290,000 pekerja Finland akan memulakan mogok selama dua hari bermula Khamis bagi membantah rancangan kerajaan negara tersebut bagi melakukan pembaharuan pasaran buruh selain cadangan bagi memotong perbelanjaan kebajikan.
Syarikat dan Kesatuan Sekerja yang terlibat dalam protes tersebut menjelaskan mogok yang bakal diadakan pada Khamis dan Jumaat itu dijangka melibatkan beberapa industri termasuk penerbangan, minyak, selain penutupan kilang, kedai dan tadika.
"Rancangan yang ingin dilaksanakan kerajaan bersifat zalim.
"Pertamanya, mogok yang dilancarkan bakal dileraikan kerajaan dan kemudiannya rancangan pemotongan akan diteruskan", kata Jarkko Eloranta, Presiden Persatuan Kesatuan Sekerja terbesar Finland SAK kepada Reuters.
Sebelum ini, Kesatuan Sekerja telah melakukan protes terhadap rancangan kerajaan yang lebih memihak kepada perjanjian pekerja tempatan berbanding tawaran berpusat.
Perjanjian berkenaan membolehkan kerajaan Finland menghadkan mogok politik para pekerja selain memudahkan majikan menamatkan kontrak pekerja.
Kesatuan Sekerja turut berikrar untuk meneruskan mogok lebih lama sekiranya kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Petteri Orpo tidak berundur.
Sementara itu, kerajaan Finland tetap mempertahankan rancangan berkenaan yang disifatkan perlu untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan defisit fiskalnya.
Dalam pada itu, majikan terkemuka Finland, EK mengkritik mogok berkenaan dan berkata rancangan pembaharuan itu diperlukan bagi memastikan ekonomi Finland setanding dengan negara jiran seperti Sweden.
"Pembaharuan adalah perlu dan kesatuan sekerja tidak menawarkan sebarang alternatif untuk membetulkan keadaan ekonomi negara yang membimbangkan," kata ketua eksekutif EK Jyri Hakamies dalam satu kenyataan.
Menurut statistik rasmi 2023, jumlah para pekerja yang terlibat dalam mogok berkenaan, membentuk kira-kira 13% daripada 2.29 juta orang yang bekerja di Finland.- REUTERS