JENIN, 10 April- Tentera Israel bertindak membunuh seorang pejuang Palestin di Tebing Barat, semalam ketika serbuan di kawasan kediaman seorang penembak yang melancarkan serangan bersenjata di Tel Aviv.
Ketegangan Israel-Palestin memuncak menjelang Ramadan dengan kedua-dua pihak memberi amaran sehingga meragut banyak nyawa sejak kejadian berkenaan.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, seramai 13 individu cedera dalam insiden berbalas tembakan di bandar Jenin, semalam.
Gerakan Jihad Islam Palestin juga mendakwa, individu terbunuh adalah sebahagian anggotanya.
Bagaimanapun, tentera Israel pula mendakwa, anggotanya sedang menjalankan operasi cegah keganasan di kawasan itu dan berbalas tembakan dengan penembak Palestin.
(Jenin dianggap kubu kuat pejuang Palestin/ AFP)
Penduduk memaklumkan, tentera Israel mengepung kediaman seorang lelaki yang melepaskan tembakan selain membunuh tiga rakyat Israel di sebuah bar di Tel Aviv, Khamis lalu.
Lelaki itu maut ditembak beberapa jam kemudian selepas bertempur dengan pasukan keselamatan Israel.
Semalam, Kementerian Pertahanan Israel mengumumkan beberapa siri sekatan di Jenin, antaranya menyekat laluan utama menuju ke Israel.
Bagaimanapun, solat tarawih pada Jumaat lalu berlangsung dengan tenang di sebalik ketegangan.
Insiden tembakan Khamis lalu menjadikan angka korban akibat beberapa serangan oleh orang Arab dan Palestin sepanjang bulan lalu meningkat kepada 14 orang iaitu peningkatan paling ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang disifatkan pemimpin Israel sebagai 'gelombang baharu keganasan'.
Lebih 20 rakyat Palestin, dengan kebanyakannya pejuang jihad dibunuh oleh tentera Israel sejak Januari lalu, manakala rakyat Palestin di Tebing Barat melaporkan peningkatan keganasan oleh penduduk Israel di situ. -REUTERS