fb fb fb fb fb

Peguam hilang 10 hari ditemukan mati di lereng bukit

(Rakan-rakan, saudara mara dan ahli keluarga menghadiri upacara pengebumian  Maria Belen/FOTO AFP)

QUITO, 23 September - Seorang peguam bela wanita ditemukan maut dibunuh selepas 10 hari dilaporkan hilang.

Menteri Dalam Negeri Patricio Carrillo menerusi Twitter menyebut, mayat mangsa Maria Belen Bernal, 34 tahun ditemukan di lereng gunung kira-kira lima kilometer (km) dari tempat latihan polis.

Mangsa dilaporkan hilang pada 11 September ketika melawat suaminya di Quito baru-baru ini.

Namun menurut jurucakap polis, suspek utama kes dipercayai pembunuhan tersebut ialah suami mangsa sendiri, iaitu seorang pegawai polis berpangkat leftenan dan pemantauan kini sedang dijalankan ke atasnya.

Pada Rabu lalu, polis menemui sekujur tubuh mayat manusia di atas lereng gunung berapi terletak tidak jauh dari akademi berkenaan.

Menerusi siasatan forensik, akhirnya pihak polis mengesahkan bahawa mayat manusia berjantina wanita yang ditemui tersebut, sebenarnya ialah Maria.

Sementara itu, suspek pula difahamkan menghilangkan diri selepas memberi kenyataan kepada pihak polis mengenai kehilangan mangsa, sebelum dipecat daripada perkhidmatan sebagai pengajar di akademi.

Dalam masa sama, pengetua akademi tersebut turut dipecat ekoran dikatakan bersubahat dengan suspek.

Sehubungan itu kerajaan Ecuador menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM90,000 kepada sesiapa yang dapat menangkap suspek yang disyaki suami mangsa sendiri.

"Kami tidak akan berhenti sehingga membawa pembunuh Maria ke muka pengadilan," menurut kenyataan polis Ecuador.

(Kematian Maria Belen mencetuskan protes orang ramai di  Quito, Ecuador/FOTO AFP)

Kematian mangsa mencetuskan protes orang ramai ekoran negara berkenaan telah menyaksikan lebih 200 tragedi pembunuhan melibatkan mangsa wanita pada tahun ini.

Pembunuhan tragis peguam itu telah dikategorikan sebagai Femicide iaitu apabila seorang wanita dibunuh kerana jantinanya.

Badan siasatan jenayah Yayasan Aldea merekodkan pembunuhan yang melibatkan wanita di Ecuador dilapor semakin meningkat di mana seramai 206 wanita telah terbunuh setakat 3 September baru-baru ini. - AFP

Media Baharu