fb fb fb fb fb

Lelongan Memorabilia Hollywood : Lightsaber Darth Vader dijangka cecah RM4.5 juta

FOTO REUTERS

LONDON, 7 Ogos – Beberapa barangan ikonik daripada filem terkenal termasuk pedang cahaya (lightsaber) Star Wars, cemeti Indiana Jones dan topi keledar Sauron daripada trilogi Lord of the Rings dipamerkan di London, pada Rabu sebagai pratonton menjelang acara lelongan memorabilia hiburan oleh Propstore.

Lelongan yang dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 6 September di Los Angeles itu menampilkan enam barangan utama termasuk papan klap bergigi jerung dari filem klasik Jaws arahan Steven Spielberg, kostum Jane Fonda dalam Barbarella serta peranti pemadam memori “neuralyser” daripada filem pertama Men in Black.

Secara keseluruhan, lebih 1,000 barangan pop budaya bernilai kira-kira AS$10 juta bakal ditawarkan.

Antara tarikan utama ialah lightsaber milik watak Darth Vader yang digunakan dalam filem Star Wars: The Empire Strikes Back dan Return of the Jedi. Senjata ikonik itu dijangka terjual pada harga antara AS$1 juta hingga AS$3 juta.

Propstore memaklumkan lightsaber tersebut pernah digunakan dalam babak pertarungan antara Darth Vader dan Luke Skywalker, selain fakta menarik bahawa pemegang senjata itu dihasilkan daripada komponen lampu kilat kamera era 1940-an dan 1950-an.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Propstore, Stephen Lane, sebahagian besar koleksi berkenaan diperoleh melalui pengumpul persendirian, studio, pelakon, kru produksi dan juga rumah sewa kostum. Kostum Barbarella contohnya ditemui di sebuah rumah sewa kostum di Rom.

Lelongan turut menawarkan pelbagai memorabilia lain termasuk papan tanda Platform 9 ¾ daripada francais Harry Potter, sut Batman lakonan Michael Keaton (1989) dan pedang Jon Snow dari Game of Thrones.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE