fb fb fb fb fb

Ahli Parlimen pembangkang Brazil ambil alih Dewan Rakyat, bantah tahanan rumah Bolsonaro

FOTO REUTERS

BRASILIA, 7 Ogos - Ahli Parlimen pembangkang Brazil pada Selasa bertindak mengambil alih dan menghalang urusan meja Dewan Rakyat serta Senat sebagai bantahan terhadap keputusan meletakkan bekas Presiden Jair Bolsonaro bawah tahanan rumah.

Mereka menuntut supaya apa yang digelar sebagai "pakej keamanan" dimasukkan ke dalam agenda legislatif, termasuk pemberian pengampunan kepada individu terlibat cubaan rampasan kuasa 8 Januari 2023 dan pemecatan Hakim Mahkamah Agung (STF) Alexandre de Moraes, yang menjadi pelapor bagi kes-kes berkaitan cubaan rampasan kuasa serta halangan keadilan melibatkan Bolsonaro.

Pada Isnin, Moraes memerintahkan Bolsonaro dikenakan tahanan rumah selepas mendapati beliau berulang kali melanggar langkah berjaga-jaga yang telah ditetapkan, termasuk larangan menggunakan media sosial secara langsung atau tidak langsung.

Bolsonaro kini dibicarakan di Mahkamah Agung atas tuduhan bersekongkol dengan sekutu untuk menggagalkan kekalahan pilihan raya 2022 kepada presiden berhaluan kiri, Luiz Inacio Lula da Silva.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyifatkan kes berkenaan sebagai “pemburuan penyihir” dan mengumumkan pelaksanaan tarif 50% terhadap barangan Brazil berkuat kuasa Rabu (6 Ogos).-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE