RAFAH, 7 Ogos - Hampir 1,000 lori bantuan telah memasuki Gaza melalui lintasan sempadan Rafah dalam tempoh dua minggu lepas, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERCS).
Pengarah Eksekutif ERCS, Amal Imam, berkata, lori-lori berkenaan membawa sekitar 14,500 tan bantuan sejak Israel bersetuju pada 27 Julai lalu untuk membenarkan lebih banyak bantuan disalurkan kepada penduduk Gaza.
Setakat ini, 800 daripada hampir 1,000 lori yang menyeberangi sempadan telah tiba ke destinasi di Gaza. Bagaimanapun, katanya, sebahagian lori menghadapi halangan untuk mendapatkan kelulusan akibat sekatan produk tertentu yang dikenakan Israel.
Pegawai Palestin dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan bahawa Gaza memerlukan sekitar 600 lori bantuan sehari bagi memenuhi keperluan kemanusiaan, jumlah yang sebelum ini dibenarkan Israel sebelum tercetusnya perang.
Sementara itu, Hamas menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Palang Merah bagi menyampaikan bantuan kepada tebusan yang ditahan di Gaza, dengan syarat Israel membuka koridor kemanusiaan secara kekal dan menghentikan serangan udara semasa agihan bantuan.-REUTERS