fb fb fb fb fb

Ketegangan perdagangan memuncak, AS kenakan tarif tambahan 25% ke atas India

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 7 Ogos - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Rabu menandatangani perintah eksekutif mengenakan tarif tambahan 25% terhadap barangan India berikutan tindakan New Delhi yang terus mengimport minyak Rusia, sekali gus meningkatkan ketegangan hubungan perdagangan kedua-dua negara selepas rundingan perdagangan gagal mencapai kata sepakat.

Langkah itu menyaksikan kadar tarif terhadap sebahagian barangan India meningkat sehingga 50%, antara yang tertinggi dikenakan ke atas rakan dagang AS.

Sektor eksport utama India seperti tekstil, kasut, serta barangan kemas dan batu permata dijangka terjejas, menandakan kemerosotan paling serius dalam hubungan perdagangan AS-India sejak Trump kembali ke White House pada Januari lalu.

Tindakan itu turut diambil ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi, bersiap untuk melakukan lawatan ke China buat pertama kali dalam tempoh lebih tujuh tahun, yang dilihat sebagai isyarat kemungkinan penyusunan semula pakatan ketika hubungan dengan Washington semakin renggang.

Kementerian Luar India dalam kenyataan menyifatkan keputusan itu sebagai “sangat malang” dan menegaskan New Delhi akan mengambil segala langkah perlu bagi melindungi kepentingan negara.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE