fb fb fb fb fb

Peguam bocor maklumat, raja dadah Australia terlepas hukuman berat

Raja dadah paling terkenal di Australia, Tony Mokbel / AFP

SYDNEY, 6 November - Raja dadah paling terkenal di Australia, Tony Mokbel, memperoleh pengurangan hukuman penjara pada Khamis selepas mahkamah mendapati salah seorang peguamnya sebelum ini merupakan informan kepada polis.

Mokbel, antara watak utama dalam perang kongsi gelap di Melbourne yang berlarutan bertahun-tahun, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 30 tahun pada 2012 selepas mengaku bersalah mengendalikan sindiket dadah besar-besaran.

Kumpulan diketuainya, The Company, dikaitkan dengan keganasan yang meragut puluhan nyawa dan kisahnya turut dijadikan inspirasi untuk siri televisyen popular Australia, Underbelly.

Namun, kemudian terbongkar bahawa peguam ternamanya ketika itu, Nicola Gobbo yang juga dikenali sebagai Lawyer X atau Informer 3838 sebenarnya menyalurkan maklumat kepada polis ketika mewakili anak guamnya.

Mokbel telah menghabiskan kira-kira 18 tahun di penjara sebelum dibebaskan dengan jaminan pada April lalu selepas mahkamah mendapati terdapat kemungkinan kukuh untuk membatalkan sabitan terhadapnya.

Pasukan pembelaannya berhujah bahawa Mokbel tidak akan mengaku bersalah sekiranya mengetahui tentang peranan berganda Gobbo sebagai informan polis. Mahkamah Rayuan Victoria kemudiannya membatalkan satu sabitan dan memerintahkan perbicaraan semula bagi satu lagi kes.

Keputusan pada Khamis pula melibatkan pertuduhan ketiga berkaitan pengedaran lebih 41 kilogram dadah jenis methamphetamine antara tahun 2006 dan 2007. Walaupun rayuan terhadap sabitan itu ditolak, hukuman penjara Mokbel dikurangkan daripada 20 tahun kepada 13 tahun, tujuh bulan dan 15 hari, tempoh yang sudah pun dilaluinya.

Mahkamah menegaskan kesalahan Mokbel amat berat, namun mengambil kira 'keadaan luar biasa' termasuk hakikat bahawa dia merupakan pesalah dadah kali pertama serta pernah mengalami kecederaan serius ketika menjalani hukuman.

Mokbel kini masih dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu kemungkinan perbicaraan semula bagi kes lain.

Kes tersebut dijangka bukan yang terakhir, memandangkan pihak pendakwa memaklumkan pada 2019 bahawa sekurang-kurangnya 22 individu lain mungkin mempunyai asas untuk membuat rayuan.

Gobbo pula mendakwa lebih 300 orang telah ditangkap dan didakwa berdasarkan maklumat yang disalurkannya kepada polis.

Siasatan Suruhanjaya Diraja pada 2020 kemudian mendapati tindakan Gobbo menjalani kehidupan berganda itu sebagai pelanggaran asas dan mengejutkan terhadap tanggungjawabnya sebagai peguam.

Gobbo berperanan sebagai sumber utama polis antara 2005 hingga 2009, tempoh paling kritikal dalam operasi menumpaskan jenayah terancang di Melbourne malah telah didaftarkan sebagai informan sejak 1999, dua tahun sebelum beliau diterima masuk ke bidang guaman.

Pihak polis Victoria dilaporkan menghabiskan masa lima tahun dan berjuta dolar untuk merahsiakan identiti Gobbo dengan alasan dia berisiko dibunuh sekiranya identitinya terbongkar.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE