fb fb fb fb fb

Bekas pegawai kanan Polis New Zealand mengaku simpan bahan lucah terlarang

Bekas Timbalan Pesuruhjaya Polis New Zealand, Jevon McSkimming / AFP

WELLINGTON, 6 November - Bekas Timbalan Pesuruhjaya Polis New Zealand, Jevon McSkimming, mengaku bersalah pada Khamis atas tuduhan memiliki bahan eksploitasi seksual kanak-kanak dan pornografi melibatkan haiwan yang disimpan dalam peranti kerjanya.

McSkimming, yang sebelum ini merupakan pegawai kedua tertinggi dalam pasukan polis negara itu, ditahan Jun lalu dan berdepan lapan pertuduhan memiliki bahan tidak senonoh.

Mahkamah sebelum ini melarang media menyiarkan identitinya, namun sekatan itu tamat pada Ogos. Dalam prosiding di Mahkamah Daerah Wellington, peguamnya memaklumkan McSkimming mengaku terhadap tiga pertuduhan daripada keseluruhan kes.

Menurut dokumen mahkamah, kesalahan dilakukan antara Julai 2020 hingga Disember 2024. McSkimming digantung tugas dengan gaji penuh pada Disember tahun lalu sebelum meletak jawatan Mei lalu.

Pesuruhjaya Polis New Zealand, Richard Chambers, menyifatkan kes itu sebagai memalukan dan menegaskan semua anggota polis, tanpa mengira pangkat, tertakluk kepada undang-undang yang sama.

McSkimming dijadual dijatuhkan hukuman Disember ini.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE