MEXICO CITY, 6 November - Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, menyeru agar gangguan seksual dijadikan kesalahan jenayah di seluruh negara selepas beliau sendiri diganggu seorang lelaki ketika beramah mesra dengan penyokong di luar Istana Presiden, Selasa lalu.
Insiden itu berlaku apabila seorang lelaki dalam keadaan mabuk menghampiri Sheinbaum, meletakkan tangan di bahunya sebelum memegang pinggul dan dadanya sambil cuba mencium lehernya. Pengawal keselamatan segera menarik lelaki itu menjauh, namun kejadian tersebut sempat dirakam dan tular di media sosial.
Sheinbaum, 63, dalam sidang media hari berikutnya berkata beliau pada awalnya tidak menyedari apa yang berlaku sehinggalah melihat rakaman video kejadian itu. Suspek kemudian ditahan dan didakwa atas kesalahan ‘gangguan’, yang merupakan jenayah di Mexico City dan kira-kira 20 negeri lain.
Presiden wanita pertama Mexico itu menegaskan beliau membuat laporan rasmi kerana mahu memberi contoh kepada wanita lain di negara itu. “Kalau saya sendiri tidak buat laporan, apa akan jadi pada wanita lain? Kalau ini boleh berlaku pada presiden, bagaimana dengan mereka?” katanya.
Beliau turut menggesa agar undang-undang digubal supaya gangguan seksual dikategorikan sebagai jenayah di semua 32 negeri Mexico, memandangkan sebahagian negeri masih belum mengiktirafnya dalam kod jenayah masing-masing.
Kejadian itu mencetuskan perdebatan luas mengenai keselamatan wanita di Mexico, di mana gangguan dan keganasan terhadap wanita masih berleluasa. Data Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan, tujuh daripada 10 wanita Mexico pernah mengalami gangguan seksual sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka, dengan purata 10 wanita dibunuh setiap hari.-AFP