MANILA, 6 November - Sekurang-kurangnya 140 orang terkorban dan 127 lagi dilaporkan hilang selepas Taufan Kalmaegi melanda tengah Filipina, menyebabkan banjir besar yang disifatkan sebagai paling dahsyat dalam sejarah wilayah itu.
Air bah yang melanda wilayah Cebu menenggelamkan rumah, menghanyutkan kenderaan serta kontena besar, manakala bandar-bandar utama lumpuh sepenuhnya akibat kemusnahan. Di bandar Liloan, 35 mayat ditemukan setakat ini, dengan penduduk masih berusaha membersihkan lumpur dan sisa puing.
Di Pulau Negros pula, sekurang-kurangnya 30 mangsa terbunuh apabila hujan lebat mencetuskan aliran lumpur gunung berapi dari Gunung Kanlaon yang menimbus kawasan perumahan.
Enam anggota tentera turut terkorban apabila helikopter yang digunakan dalam misi bantuan taufan terhempas di kawasan pergunungan. Lebih 800,000 penduduk telah dipindahkan dari kawasan terjejas bagi mengelakkan kehilangan nyawa yang lebih besar.
Pakar meteorologi melaporkan Cebu menerima 18.3 sentimeter hujan dalam tempoh 24 jam sebelum taufan melanda, jauh melebihi purata hujan bulanan. Gabenor wilayah, Pamela Baricuatro, menyifatkan keadaan itu sebagai tidak pernah berlaku dan amat dahsyat.
Taufan Kalmaegi kini sedang menuju ke Vietnam dengan kelajuan angin mencecah 155 kilometer sejam dan dijangka membadai kawasan tengah negara itu lewat Khamis, membawa ombak setinggi lapan meter. Pihak berkuasa Vietnam menganggap taufan itu sebagai “amat berbahaya” dan menyeru langkah kecemasan segera.-AFP