WASHINGTON, 6 November - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berdepan sesi soal jawab sengit di Mahkamah Agung pada Rabu berhubung kesahihan tindakan presiden mengenakan tarif besar-besaran terhadap pelbagai negara, dalam kes yang dijangka memberi kesan besar kepada ekonomi global.
Kes itu timbul selepas mahkamah bawahan memutuskan penggunaan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 (IEEPA) oleh Trump untuk mengenakan tarif melampaui bidang kuasanya. Tindakan itu dicabar menerusi tiga saman oleh syarikat dan 12 negeri yang kebanyakannya diterajui Parti Demokrat.
Peguam Negara AS, D. John Sauer, mempertahankan tindakan presiden mengenakan tarif adalah langkah menangani kecemasan ekonomi dan keselamatan negara akibat defisit perdagangan. Namun, beberapa hakim, termasuk Ketua Hakim Konservatif John Roberts dan Hakim Amy Coney Barrett mempersoalkan sama ada Trump telah mencabuli kuasa yang sepatutnya dimiliki oleh Kongres.
Hakim liberal Elena Kagan dan Ketanji Brown Jackson turut menzahirkan keraguan, dengan menegaskan kuasa mengenakan cukai dan mengawal perdagangan antarabangsa lazimnya milik Kongres, bukan presiden. Jackson menambah bahawa IEEPA pada asalnya digubal untuk mengehadkan, bukan memperluas, kuasa eksekutif.
Sebahagian hakim turut menimbulkan isu 'major questions doctrine' – prinsip yang menuntut sebarang tindakan eksekutif berskala besar mesti jelas diluluskan oleh Kongres. Mereka mempersoalkan ketiadaan perkataan “tarif” dalam IEEPA, sekali gus mencabar hujah pentadbiran Trump.
Trump merupakan presiden pertama menggunakan IEEPA bagi mengenakan tarif, langkah yang dilihat memperluas kuasa eksekutif secara agresif. Menurut data Kastam AS, tarif tersebut telah menjana kutipan dianggarkan sebanyak AS$89 bilion sehingga September lalu, meskipun masih dipersoalkan kesahihannya di mahkamah.-REUTERS