WASHINGTON, 22 Ogos-Sekumpulan pegawai kanan dari Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dan White House telah mengadakan pertemuan bersama pemimpin Tibet dalam buangan, Dalai Lama di New York pada Rabu.
Pada pertemuan berkenaan, AS sekali lagi mengulangi komitmen negara itu berhubung isu hak asasi manusia di Tibet", kata jurucakap Jabatan Negara AS dalam kenyataan.
Menurut kenyataan Jabatan Negara AS, pertemuan berkenaan dihadiri oleh Setiausaha Negara AS untuk hak asasi manusia dan penyelaras khas untuk isu Tibet, Uzra Zeya dan pengarah hak asasi manusia White House, Kelly Razzouk.
Ujar kenyataan itu lagi, Zeya yang mewakili presiden Joe Biden turut membincangkan usaha yang diambil AS bagi menangani isu pencabulan hak asasi manusia di Tibet selain menyokong untuk diadakan semula dialog di antara China dan Dalai Lama.
Sementara itu,pertemuan dengan pemimpin utama Buddha berusia 89 tahun itu bakal mengeruhkan hubungan AS-China memandangkan Dalai Lama dianggap China sebagai pemberontak dan pemisah berbahaya.
China turut menentang mana-mana hubungan yang mengaitkan pemimpin Tibet itu.
Dalam pada itu, jurucakap kedutaan China di Washington, Liu Pengyu berkata berkata China sangat bimbang berhubung pertemuan berkenaan dan menggesa agar AS memutuskan hubungan dengan pemimpin Tibet itu dengan segera.
Bulan lalu, China mengkritik rang undang-undang yang ditandatangani Biden menggesa agar Beijing menyelesaikan pertikaian berkaitan tuntutan terhadap Tibet.
Dalai Lama melarikan diri ke India pada tahun 1959 selepas pemberontakan yang gagal menentang pemerintahan China di Tibet.-REUTERS