fb fb fb fb fb

PBB sambung rundingan berkaitan isu laut lepas

(FOTO FAIL/ AFP)

NEW YORK, 16 Ogos- Anggota negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyambung rundingan bagi mencapai kata sepakat dalam melindungi laut lepas sebagai sumber yang melitupi hampir separuh daripada bumi.

Rundingan yang bermula hari ini dijangka berterusan sehingga 26 Ogos ini di ibu pejabat PBB.

Pengerusi persidangan itu, yang juga diplomat dari Singapura, Rena Lee, berkata konsensus perlu dibuat bagi mencapai kata sepakat berhubung isu terbabit.

"Dalam tempoh dua minggu ini, marilah kita berusaha mencapai persetujuan yang adil, berimbang, boleh dilaksanakan dan menarik penyertaan ramai," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Terdahulu, sumber kepada 'High Ambition Coalition' merangkumi kumpulan 50 negara berkata, perunding optimis berkaitan isu berkenaan.

Hos kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan negara terkesan turut memaklumkan pakatan itu penting bagi meningkatkan tahap kepentingan alam sekitar yang berdepan pelbagai cabaran.

NGO dan High Ambition Coalition berkata, pakatan global berhubung Pemuliharaan dan Penggunaan Mampan Kepelbagaian Biologi Marin di Kawasan Di Luar Bidang Kuasa Negara perlu segera disempurnakan.

"Perjanjian ini penting kerana ia akan menyediakan rangka kerja dan menjadi kompas kepada prinsip serta peraturan kepada masyarakat antarabangsa dalam menguruskan ruang secara bersama," kata penyelidik Institut Pembangunan Lestari dan Hubungan Antarabangsa (IDDRI), Julien Rochette.

Sementara itu, James Hanson dari Greenpeace, berkata badan pembuat keputusan yang merangkumi semua negara harus mempunyai kuasa untuk mewujudkan kawasan perlindungan marin tanpa perlu merujuknya kepada badan kawal selia sedia ada.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, persoalan mengenai kerjasama membabitkan pertubuhan maritim seperti hak penangkapan ikan, perlu diputuskan.

Satu lagi isu sensitif ialah kaedah perkongsian keuntungan daripada hasil genetik di laut lepas, di mana syarikat farmaseutikal, kimia, dan kosmetik berharap akan menemui penawar ajaib bagi merawat penyakit serta produk lain.

Penyelidikan seumpamanya memerlukan kos tinggi dan lazimnya dibolot negara kaya dan negara membangun tidak mahu ketinggalan daripada meraih manfaat daripada sumber kekayaan di laut lepas, yang pada asasnya bukan milik khusus sesiapa.

Negara maju di Kesatuan Eropah (EU), Australia, New Zealand dan negara membangun menyokong usul itu tetapi ditentang keras oleh Russia dan negara mementingkan hak perikanan seperti Iceland serta Jepun.

Sempadan zon ekonomi eksklusif (EEZ) negara ditentukan mengikut undang-undang antarabangsa iaitu tidak lebih 200 batu nautika atau 370 kilometer dari pesisir pantai setiap negara serta tidak berada di bawah bidang kuasa negara berkenaan. - AFP


(Seorang pegawai polis Portugis menolak seorang aktivis Greenpeace yang memegang sepanduk
bertulis 
‘Lindungi Lautan’ semasa protes di luar Arena Altice semasa Persidangan Lautan PBB
di Lisbon pada 30 Jun 2022/ AFP)

Media Baharu