(FOTO REUTERS)
MEXICO, 16 Ogos- Usaha menyelamat 10 pelombong yang terperangkap dalam sebuah lombong arang batu terkandas apabila paras air bawah tanah dilaporkan naik secara mendadak.
Menurut Koordinator pertahanan awam, Laura Velazquez ia susulan runtuhan dinding terowong yang mengakibatkan air dari lombong Pinabete masuk dan membanjiri kawasan tersebut.
“Pada pukul 4 pagi, paras air adalah satu meter dan 30 sentimenter (cm),dan kami sedang bersiap untuk masuk melalui aci dua, tetapi kemasukan mengejut ini memaksa kami menghentikan keseluruhan pelan kemasukan dan terpaksa memberi laluan kepada pelan lain yang akan saya jelaskan kemudian. Mulai saat itu, paras air di lombong Pinabete terus meningkat," katanya.
Ujar Laura, pihaknya sedang mengepam air keluar dari Pinabete sebelum sebarang misi menyelamat dilaksanakan semula.
Sementara itu, Maria Guadalupe Cabriales, kakak kepada pelombong terperangkap Margarito Cabriales, berkata dalam temu bual di luar lombong bahawa kelewatan dalam usaha menyelamat telah melemahkan keyakinannya.
"Mereka akan mengambil masa yang lebih lama untuk mengeluarkan kakak saya. Apa harapan yang kita ada?," keluhnya.
Minggu lalu, beberapa cubaan menyelamat gagal selepas dihalang keadaan lombong yang gelap serta serpihan runtuhan yang menghalang laluan masuk.
Keadaan pelombong yang terperangkap kini masih menimbulkan tanda tanya berikutan tiada komunikasi antara kedua pihak.- REUTERS
(Askar berkawal di kawasan lombong arang batu yang runtuh di mana 10 pelombong
terperangkap, di Sabinas, Mexico/ REUTERS)