LAGOS, 5 Mei- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memerlukan kira-kira AS$160 juta untuk menangani krisis kemanusiaan di timur laut Nigeria, yang kini berada pada tahap paling kritikal dalam lima tahun.
Dana tersebut diperlukan untuk menyediakan bekalan makanan dan kesihatan kepada dua juta orang, termasuk 600,000 kanak-kanak di negeri Borno, Adamawa, dan Yobe.
Permohonan itu dibuat ketika pemotongan dana oleh Amerika Syarikat (AS) yang telah menjejaskan respons kemanusiaan di kawasan berkenaan.
Ketua Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA) di Nigeria, Trond Jensen, menyatakan bahawa keperluan itu adalah sangat mendesak.
"Kami memerlukan sokongan sekarang, bukan minggu depan atau bulan depan. Saya tidak dapat menggambarkan betapa terdesaknya keadaan ini. Ini adalah yang paling teruk yang saya lihat dalam lima tahun," katanya.
Kawasan berkenaan telah dilanda pemberontakan selama 15 tahun yang mengorbankan lebih 40,000 nyawa dan menyebabkan lebih dua juta orang hilang tempat tinggal.
Pertempuran itu juga telah memusnahkan mata pencarian dan menghalang akses ke tanah pertanian serta pasaran.- AFP