fb fb fb fb fb

PBB lancar rayuan kilat bencana banjir di Pakistan

(Pemandangan udara kawasan kediaman yang ditenggelami air selepas hujan
monsun lebat di wilayah Balochistan, Pakistan pada 29 Ogos 2022/AFP)

NEW YORK, 30 Ogos- Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Islamabad akan melancarkan rayuan rasmi berjumlah AS$160 juta untuk membiayai bantuan kecemasan Pakistan yang sedang bergelut dengan banjir monsun terburuk dalam tempoh sedekad.

"Keadaan dijangka bertambah buruk dengan lebih banyak hujan yang berterusan," kata jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric dalam sidang media di sini.

"Kami bersama-sama kerajaan (Pakistan) merancang rayuan kilat sebanyak AS$160 juta untuk aktiviti bantuan segera," katanya, sambil menyatakan permintaan itu akan dilancarkan secara rasmi hari ini.

PBB telah menyalurkan kira-kira AS$7 juta, termasuk mengalihkan program dan sumber sedia ada untuk memenuhi keperluan yang lebih mendesak seperti makanan, air, bekalan perubatan dan tempat tinggal.

Tambahan AS$3 juta telah dikeluarkan oleh dana respons kecemasan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

(Suasana banjir di Sohbatpur, Pakistan/REUTERS)

Menurut pihak berkuasa Pakistan, lebih 1,100 orang maut sejak Jun lalu apabila musim hujan bermula, tetapi jumlah keseluruhan mungkin lebih tinggi.

Banjir tahun ini telah menjejaskan lebih 33 juta penduduk bersamaan satu pertujuh daripada populasi Pakistan. -AFP

Media Baharu