(Pasukan IAEA menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vienna di Schwechat, Austria,
sebelum pasukan itu pergi ke Ukraine untuk memeriksa loji nuklear Zaporizhzhia/AFP)
KIEV, 30 Ogos- Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi berkata beliau dalam perjalanan untuk memeriksa loji nuklear Zaporizhzhia di Ukraine.
Pasukan pemeriksa itu berlepas ketika tentera Kiev melancarkan serangan balas untuk merebut semula wilayah selatan Kherson yang diduduki Rusia.
Wilayah pantai Kherson dan ibu kotanya dengan nama yang sama, antara yang menjadi sasaran tentera Rusia sejak perang meletus enam bulan lalu.
"Hari ini terdapat serangan artileri yang kuat terhadap kedudukan musuh di wilayah Kherson yang diduduki," kata pegawai kerajaan tempatan, Sergey Khlan kepada saluran TV Pryamyi Ukraine.
"Inilah yang kami nantikan sejak musim bunga, ia adalah permulaan kepada pembebasan wilayah Kherson."
Kementerian Pertahanan Rusia bagaimanapun berkata ia telah menangkis serangan di wilayah Kherson dan Mykolaiv dan menyebabkan kerugian besar kepada tentera Ukraine.
(Loji nuklear Zaporizhzhia/AFP)
Bandar Kherson terletak kira-kira 200 kilometer di barat daya loji nuklear Zaporizhzhia, kemudahan atom terbesar di Eropah yang juga telah diduduki oleh tentera Rusia sejak awal Mac.
Loji itu disasarkan pada hujung minggu dengan serangan baharu, kata pengendalinya, dengan Moscow dan Kiev dipersalah atas serangan di sekitar kompleks enam reaktor nuklear di Energodar, sebuah bandar di tebing Sungai Dnipro.
Agensi nuklear Ukraine Energoatom telah memberi amaran tentang risiko kebocoran radiasi.
Menurut agensi itu, tentera Rusia terus menembak ke arah Energodar dan loji kuasa nuklear Zaporizhzhia pada hari Ahad dan mencederakan 10 orang, termasuk empat pekerja loji.
Kementerian Pertahanan Rusia sebaliknya menuduh tentera Ukraine membedil berhampiran loji itu pada hari yang sama.
"Dron serangan Ukraine telah ditembak jatuh ketika menghampiri kawasan simpanan bahan bakar nuklear dan sisa radioaktif," kata kementerian itu.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata Rusia melihat lawatan IAEA sebagai perlu dan telah lama menunggu ketibaan mereka. -AFP