GENEVA, 19 Ogos - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan kematian petugas kemanusiaan meningkat hampir satu pertiga kepada hampir 400 orang pada tahun lalu, menjadikan 2024 sebagai tahun paling dahsyat sejak rekod bermula pada 1997.
PBB berkata seramai 383 petugas terbunuh pada 2024, hampir separuh daripadanya di Gaza dan wilayah Palestin diduduki, berdasarkan pangkalan data antarabangsa.
“Serangan berskala ini tanpa sebarang akauntabiliti adalah kecaman memalukan terhadap kegagalan dan sikap tidak peduli antarabangsa,” kata Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan, Tom Fletcher, dalam kenyataan.
Setakat tahun ini, data awal daripada Pangkalan Data Keselamatan Petugas Kemanusiaan menunjukkan 265 petugas maut, termasuk 173 di Gaza ketika serangan Israel hampir memasuki tahun kedua terhadap Hamas.
Tahun ini juga merekodkan 36 kematian petugas di Sudan dan tiga di Ukraine.
Salah satu insiden di Gaza yang mencetuskan kecaman antarabangsa berlaku pada Mac lalu, apabila 15 petugas kecemasan dan bantuan terbunuh akibat tembakan Israel dalam tiga kejadian berasingan.
Tentera Israel pada April menyatakan insiden itu berpunca daripada salah faham operasi dan pelanggaran arahan.
Petugas kemanusiaan dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, namun pakar menyatakan jarang kes sebegini dibawa ke mahkamah, dengan kebimbangan terhadap akses masa depan kumpulan bantuan serta kesukaran membuktikan niat menjadi penghalang utama.
“Ia benar-benar bencana, dan trendnya bergerak ke arah yang bertentangan daripada sepatutnya,” kata jurucakap Pejabat Kemanusiaan PBB, Jens Laerke.-REUTERS