fb fb fb fb fb

Korban banjir monsun di utara Pakistan meningkat hampir 400 orang

Pasukan penyelamat membersihkan runtuhan rumah untuk mencari mangsa selepas hujan lebat di Kampung Dalori, daerah Swabi, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan. Foto- AFP

DALORI, 19 Ogos - Angka korban akibat hujan lebat monsun di utara Pakistan sejak Khamis lalu meningkat hampir 400 orang, ketika pasukan penyelamat dan penduduk meneruskan operasi mencari mangsa tertimbus.

Hujan lebat lima hari berturut-turut telah menyebabkan banjir dan tanah runtuh yang memusnahkan kampung, menimbus penduduk serta mengakibatkan ramai hilang.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) berkata, seramai 356 orang maut di wilayah bergunung-ganang Khyber Pakhtunkhwa yang bersempadan dengan Afghanistan sejak Khamis malam.

Puluhan lagi maut di wilayah sekitarnya, menjadikan angka korban hampir 400 orang dalam tempoh lima hari.

Pasukan penyelamat pada Selasa menggali lumpur dan runtuhan batu di kampung Dalori, untuk mencari mangsa yang masih hilang.

“Kami hilang segalanya dalam sekelip mata. Hidup kami hancur,” kata Umar Islam, 31, seorang buruh yang kehilangan bapanya pada Isnin.

Seorang lagi penduduk, Fazal Akbar, 37, menyifatkan keadaan selepas banjir sebagai “menakutkan”.

“Ia berlaku begitu tiba-tiba hingga tiada seorang pun sempat bertindak. Pengumuman dibuat dari masjid dan penduduk bergegas menyelamatkan diri. Kurang 20 minit, kampung kami musnah,” katanya.

Banyak jalan rosak, menyukarkan pasukan penyelamat ke kawasan terjejas, manakala talian komunikasi juga lumpuh.

Hujan lebat turut melanda bahagian selatan Pakistan selepas sebelum ini kawasan itu terhindar daripada monsun terburuk.

Pengerusi NDMA, Leftenan Jeneral Inam Haider Malik, berkata hujan dijangka berterusan sehingga Sabtu dan satu lagi kitaran hujan monsun dijangka bermula hujung bulan ini.

Setakat ini, lebih 700 orang maut dan hampir 1,000 cedera akibat monsun sejak 26 Jun, dengan musim monsun dijangka berlanjutan sehingga pertengahan September.

Pihak berkuasa turut memberi amaran risiko banjir di kawasan pantai Sindh termasuk Karachi.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN