fb fb fb fb fb

Cadangan gencatan senjata diterima Hamas hampir sama versi dipersetujui Israel

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari. Foto- AFP

DOHA, 19 Ogos - Cadangan gencatan senjata Gaza yang dipersetujui Hamas adalah hampir sama dengan versi terdahulu yang pernah dipersetujui Israel.

Menurut jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari, Hamas memberikan jawapan yang sangat positif, dan ia sebenarnya hampir sama dengan apa yang sebelum ini telah dipersetujui pihak Israel.

Harapan mencapai perjanjian kembali meningkat pada Isnin selepas Hamas mengumumkan menerima cadangan gencatan senjata baharu diusahakan Mesir dan Qatar di Kaherah.

Qatar bersama Mesir dan Amerika Syarikat terlibat dalam usaha perantaraan bagi mencapai gencatan senjata sepanjang perang 22 bulan di Gaza, namun selain dua gencatan singkat, rundingan setakat ini gagal menamatkan pertempuran.

Pusingan rundingan sebelum ini di Doha pada Julai gagal selepas Israel pada mulanya bersetuju dengan cadangan gencatan senjata tetapi kemudian menolak pindaan yang dikemukakan Hamas.

“Kami tidak boleh mendakwa satu kejayaan besar telah dicapai. Namun kami percaya ia adalah satu titik positif,” kata Ansari.

“Kami berada pada saat kemanusiaan yang genting. Jika tiada perjanjian dicapai sekarang, kita bakal berdepan bencana kemanusiaan yang lebih dahsyat berbanding sebelumnya,” tambahnya.

Rundingan beberapa bulan kebelakangan ini memberi tumpuan kepada kerangka gencatan senjata awal selama 60 hari dan pembebasan tahanan Israel di Gaza secara berperingkat, yang pertama kali dicadangkan utusan khas Amerika Syarikat, Steve Witkoff.

Ansari mengesahkan cadangan semasa turut merangkumi gencatan senjata dua bulan serta kemasukan bantuan kemanusiaan.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN