TORONTO, 19 Ogos - Kesatuan yang mewakili kru kabin Air Canada mengumumkan tamatnya mogok berhubung isu gaji dan tugas persiapan penerbangan yang tidak dibayar selepas mencapai perjanjian sementara dengan syarikat penerbangan itu.
Kira-kira 10,000 kru kabin menghentikan kerja selepas tengah malam Sabtu lalu, menyebabkan pembatalan penerbangan yang menjejaskan sekitar setengah juta penumpang.
Kesatuan itu sebelum ini menentang arahan tribunal peraturan supaya kembali bekerja pada Ahad, memaksa Air Canada membatalkan rancangan untuk memulihkan sebahagian perkhidmatan.
Namun selepas rundingan disambung semula lewat Isnin, kesatuan memaklumkan pihaknya berjaya mencapai satu perjanjian awal dengan syarikat penerbangan itu untuk dipertimbangkan oleh ahli.
“Mogok telah berakhir. Kami mempunyai perjanjian sementara yang akan dibentangkan kepada anda,” kata Kesatuan Pekerja Awam Kanada (CUPE) menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
“Kami dikehendaki memaklumkan kepada ahli bahawa kita mesti memberikan kerjasama penuh terhadap penyambungan semula operasi,” menurut kenyataan itu.
Air Canada dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya akan memulakan semula operasinya secara beransur-ansur selepas mencapai “perjanjian dimediasi” dengan CUPE.
Syarikat itu berkata penerbangan pertama dijadual berlepas pada Selasa malam namun memberi amaran bahawa perkhidmatan penuh hanya akan pulih dalam tempoh tujuh hingga 10 hari.
“Memulakan semula syarikat penerbangan utama seperti Air Canada adalah tugas yang kompleks. Pemulihan penuh mungkin mengambil masa seminggu atau lebih, maka kami memohon kesabaran serta kefahaman pelanggan dalam beberapa hari mendatang,” kata Presiden Air Canada, Michael Rousseau.-AFP