fb fb fb fb fb

PBB kecam sekatan Israel halang kemasukan khemah ke Gaza

Penduduk Palestin mengutip barangan dari runtuhan rumah yang musnah akibat serangan Israel di kejiranan al-Zeitoun, Bandar Gaza. Foto- AFP

GENEVA, 19 Ogos - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengecam tindakan Israel yang berbulan-bulan menghalang kemasukan khemah ke Gaza, meskipun penduduk awam terus diarahkan berpindah di wilayah yang musnah akibat perang.

Jurucakap agensi kemanusiaan PBB (OCHA), Jens Laerke, berkata barangan tempat perlindungan telah diharamkan daripada memasuki Gaza sejak kira-kira lima bulan lalu, iaitu tempoh ketika lebih 700,000 orang telah dipindahkan atau berpindah semula.

“Mereka mungkin pernah menerima khemah, tetapi apabila sekali lagi dipindahkan, mereka tidak berpeluang membawa khemah itu bersama,” katanya pada sidang media di Geneva.

Beliau menjelaskan Israel boleh mengklasifikasikan khemah sebagai barangan “dwi guna” kerana menganggap tiang khemah berpotensi digunakan untuk tujuan ketenteraan.

Awal bulan ini, Israel mengumumkan rancangan menawan bandar Gaza dan pada Sabtu lalu mengeluarkan satu lagi arahan perpindahan kepada penduduk.

Namun Laerke menegaskan arahan itu tidak mengubah keadaan di lapangan kerana khemah masih tidak dibenarkan masuk ke wilayah terbabit.

Dalam kenyataan berasingan, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB menuduh Israel menghantar penduduk Palestin ke kawasan yang masih dibedil.

Jurucakapnya, Thameen Al-Kheetan, berkata “ratusan ribu” orang diarahkan berpindah ke selatan, ke kawasan Al-Mawasi, namun wilayah itu masih menjadi sasaran serangan.

Beliau menambah penduduk di Al-Mawasi hampir tiada akses kepada perkhidmatan dan bekalan penting, termasuk makanan, air, elektrik dan khemah.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN