fb fb fb fb fb

Serangan ke atas hospital, sekolah langgar undang-undang kemanusiaan, gugat masa depan pelarian - UNHCR

Penolong Pesuruhjaya Tinggi Bagi Perlindungan UNHCR, Ruvendrini Menikdiwela/ Foto REUTERS

GENEVA, 20 Ogos - Serangan sengaja ke atas hospital, sekolah dan pusat bantuan telah memusnahkan setiap prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Manakala dana Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) semakin susut, menyebabkan 11.5 juta pelarian dan individu terlantar di seluruh dunia berdepan masa hadapan tanpa makanan, tempat perlindungan atau rawatan perubatan.

Amaran itu disuarakan Penolong Pesuruhjaya Tinggi Bagi Perlindungan UNHCR, Ruvendrini Menikdiwela yang melahirkan kebimbangan terhadap situasi kemanusiaan global yang semakin meruncing.

“Cabaran terbesar kini ialah pelanggaran total prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa, hak asasi manusia dan undang-undang pelarian. Infrastruktur awam tidak lagi menjadi kerosakan sampingan tetapi menjadi sasaran utama konflik termasuk hospital, sekolah, pusat agihan makanan dan tapak perlindungan. Semua ini disasarkan untuk mencetuskan korban dan kemusnahan maksimum. Ia sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa perang moden yang berlanjutan menyebabkan penderitaan manusia semakin parah dan angka korban semakin tinggi.

Dari sudut kewangan, Menikdiwela menjelaskan bahawa penurunan drastik dana antarabangsa telah mengekang keupayaan UNHCR dalam membantu golongan pelarian.

“Tahun ini, tahap pembiayaan kami kembali seperti sepuluh tahun lalu, sedangkan jumlah pelarian meningkat berkali ganda. Akibatnya, hampir 11.5 juta pelarian dan individu terlantar tidak akan menerima bantuan UNHCR tahun ini,” kata beliau.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersempena Hari Kemanusiaan Sedunia, yang disambut pada Selasa.

Menurut laporan, Amerika Syarikat sebelum ini menyumbang 42 peratus daripada jumlah bantuan global, dengan nilai sekitar AS$42.8 bilion setahun, namun pengurangan ketara sejak kebelakangan ini telah meninggalkan jurang kritikal dalam pembiayaan. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN