WASHINGTON, 20 Ogos - Amerika Syarikat (AS) sedia membantu mengkoordinasi jaminan keselamatan untuk Ukraine, namun menegaskan tidak akan menghantar tenteranya ke negara itu, menurut White House pada Selasa.
Jurucakap White House, Karoline Leavitt berkata Presiden Donald Trump telah mengarahkan pasukan keselamatan negara bekerjasama dengan Eropah bagi merangka bentuk sokongan keselamatan selepas konflik.
“Presiden Trump secara tegas menyatakan bahawa tentera AS tidak akan berada di Ukraine, tetapi kami boleh membantu dalam koordinasi serta mungkin menyediakan bentuk jaminan keselamatan lain kepada sekutu Eropah kami,” katanya.
Trump sebelum itu menolak sebarang kemungkinan menempatkan askar AS di Ukraine, namun tidak menjelaskan bentuk jaminan keselamatan yang boleh ditawarkan Washington kepada Kyiv dalam penyelesaian pasca perang.
Menurut Leavitt, sokongan udara antara pilihan yang sedang diteliti.
“Itu adalah satu kemungkinan. Saya tidak akan menolak sebarang opsyen ketenteraan yang ada pada presiden…tetapi boleh saya sahkan bahawa tentera darat tidak akan dikerahkan,” jelasnya lagi.
Antara bentuk sokongan udara yang dipertimbangkan termasuk menambah bekalan sistem pertahanan udara kepada Ukraine ataupun peranan lebih langsung seperti pesawat pejuang AS menguatkuasakan zon larangan terbang. -REUTERS