fb fb fb fb fb

Taufan Erin lemah ke Kategori 2, namun masih ancam pantai timur AS

Sebuah kereta dipandu dalam keadaan kabus tebal di wilayah Cayey, Puerto Rico selepas Taufan Erin melemah ke Kategori 2/ Foto AFP

WASHINGTON, 20 Ogos - Taufan Erin melemah ke Kategori 2 pada Selasa namun terus mengancam sebahagian kawasan pantai timur Amerika Syarikat dengan risiko banjir besar yang mengancam nyawa, menurut ramalan cuaca.

Ribut itu yang sebelum ini mencatatkan peningkatan kuasa paling pantas dalam sejarah dan sempat mencapai tahap Kategori 5 pada skala Saffir-Simpson dan menenggelamkan rumah serta jalan di wilayah kepulauan AS, Puerto Rico.

Walaupun pusat taufan dijangka kekal jauh di luar pesisir, Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) memberi amaran mengenai saiz Erin yang besar, dengan angin berkelajuan ribut tropika meliputi ratusan batu dari pusatnya.

Dalam kemas kini petang, NHC memaklumkan Amaran Ribut Tropika bagi Bahamas serta Kepulauan Turks dan Caicos telah ditarik balik, namun masih berkuat kuasa di beberapa bahagian Carolina Utara.

Erin berada beberapa ratus batu di tenggara Carolina Utara dan bergerak ke arah barat laut.

“Ini bermakna terdapat bahaya limpahan air setinggi dua hingga empat kaki di atas paras tanah,” kata Pengarah NHC, Michael Brennan.

Tambah beliau, terdapat potensi ombak besar yang boleh merosakkan pantai serta kawasan pesisir sekali gus menjadikan jalan-jalan pesisir tidak boleh dilalui.

Selain itu, kawasan pesisir lebih luas dari Carolina Utara hingga selatan Virginia kini diletakkan di bawah Amaran Ribut Tropika tahap rendah.

Media AS melaporkan puluhan orang terpaksa diselamatkan akibat arus deras berbahaya serta ombak pasang surut yang melanda. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN