fb fb fb fb fb

Angka korban di Gaza kini cecah 62,064 orang

Foto REUTERS

GAZA, 20 Ogos - Angka korban di Semenanjung Gaza terus meningkat kepada 62,064 orang dengan 156,573 cedera sejak konflik antara Hamas dan Israel tercetus pada Oktober 2023, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza pada Selasa.

Dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, 60 penduduk Palestin terbunuh manakala 343 cedera akibat serangan tentera Israel. Daripada jumlah itu, 31 terbunuh dan 197 cedera ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan, menurut kenyataan tersebut.

Sejak berakhirnya gencatan senjata singkat pada 18 Mac lalu, angka korban mencecah 10,518 orang dengan 44,532 cedera.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal, memberitahu agensi berita Xinhua bahawa sekurang-kurangnya 30 penduduk Palestin terbunuh pada Selasa selepas serangan peluru berpandu dan tembakan menyasarkan khemah pelarian serta pusat agihan bantuan yang disokong AS.

Antara insiden dilaporkan, dua lelaki terbunuh apabila tentera Israel melepaskan tembakan berhampiran pusat bantuan di utara Rafah manakala seorang lelaki maut di kawasan al-Mawasi, Khan Younis.

Selain itu, lima terbunuh dalam serangan udara berhampiran Abu Safar Mall di Deir al-Balah dan empat terbunuh termasuk dua kanak-kanak dalam serangan ke atas khemah di Khan Younis.

Serangan lain di Gaza City, kawasan barat Khan Younis dan berhampiran persimpangan Netzarim turut meragut nyawa.

Lima terbunuh termasuk tiga kanak-kanak berusia antara setahun hingga 13 tahun dalam serangan ke atas khemah di al-Basah, Deir al-Balah.

Hospital Al-Awda turut melaporkan menerima dua mayat dan tujuh mangsa cedera selepas serangan ke atas orang awam yang berkumpul di pusat agihan bantuan di Jalan Salah al-Din.

Tentera Israel setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden-insiden tersebut. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN