fb fb fb fb fb

PBB gesa siasatan terhadap kekerasan pilihan raya di Tanzania

Keganasan tercetus Rabu lalu apabila ribuan rakyat turun ke jalan di beberapa bandar besar menyerang polis dan pusat pengundian./REUTERS

GENEVA, 31 Oktober – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pasukan keselamatan Tanzania supaya tidak menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan serta menjalankan siasatan terhadap keganasan berkaitan pilihan raya yang telah mengorbankan ratusan nyawa.

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB berkata pihaknya menerima laporan boleh dipercayai mengenai kejadian tembakan dan kematian di Dar es Salaam, Shinyanga dan Morogoro, selepas pasukan keselamatan melepaskan peluru hidup dan gas pemedih mata untuk menyuraikan protes.

Jurucakapnya, Seif Magango, berkata pihaknya “terkejut dengan kematian dan kecederaan” akibat demonstrasi itu dan menggesa pihak berkuasa menahan diri daripada menggunakan kekerasan berlebihan.

Parti pembangkang utama, Chadema, mendakwa kira-kira 700 orang terbunuh dalam bantahan selama tiga hari susulan pilihan raya yang dilaporkan dicemari penyelewengan.

Presiden Samia Suluhu Hassan didakwa menggunakan pilihan raya itu untuk mengukuhkan kuasa selepas beberapa pencabarnya ditahan atau dihalang bertanding.

Keganasan tercetus Rabu lalu apabila ribuan rakyat turun ke jalan di beberapa bandar besar menyerang polis dan pusat pengundian, menyebabkan kerajaan menguatkuasakan perintah berkurung dan menyekat capaian internet di seluruh negara.

PBB turut menggesa supaya capaian internet dipulihkan segera dan tahanan politik, termasuk pemimpin pembangkang Tundu Lissu, dibebaskan.

Magango berkata kerajaan perlu menjalankan siasatan bebas dan adil terhadap semua kes keganasan pilihan raya serta mendakwa mereka yang bertanggungjawab. - AFP

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI