fb fb fb fb fb

PBB gesa keadaan di Bangladesh dipulihkan

Penunjuk perasaan antikerajaan membakar kawasan 'Muzium peringatan Bangbandhu' Dhanmondi di Dhaka pada 5 Ogos 2024/ AFP

UNITED STATES, 6 Ogos- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa ketenangan di Bangladesh dipulihkan semula selepas perletakan jawatan dan pengunduran Perdana Menteri Sheikh Hasina.

Menurut Jurucakap, Farhan Haq, beliau menekankan keperluan untuk peralihan yang aman, teratur dan demokratik.

Katanya, Guterres bersolidariti penuh dengan rakyat Bangladesh dan menyeru agar menghormati sepenuhnya hak asasi manusia.

"Beliau terus menekankan keperluan untuk siasatan penuh, bebas, tidak berat sebelah dan telus terhadap semua tindakan keganasan", katanya.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat menggesa supaya semua pihak mengelak melakukan keganasan di Bangladesh, susulan banyak nyawa yang terkorban sejak beberapa minggu lalu.

Jurucakap Jabatan Negara Matthew Miller menggesa semua pihak tenang dan bersabar pada hari-hari berikutnya.

“Kami mengalu-alukan pengumuman kerajaan sementara dan menggesa sebarang peralihan dijalankan mengikut undang-undang Bangladesh,” katanya.

Miller berkata, Amerika Syarikat sangat sedih dengan laporan pencabulan hak asasi manusia, kematian dan kecederaan dalam insiden di negara berkenaan pada minggu lalu.-AFP

ROSLINA BINTI DIN